Thursday, 18 April 2013

Apakah yang anda faham dengan sekolah berkesan dan penambahbaikan sekolah?

Pada pendapat saya, sekolah berkesan tidak tertakluk kepada sekolah yang dapat mengekalkan prestasi akademik yang cemerlang sahaja. Jika sebuah sekolah dapat mengatasi masalah ponteng di kalangan pelajar-pelajarnya, ia juga boleh dianggap sebagai sekolah berkesan. Mengikut model keberkesanan yang dicadangkan oleh Mortimore, terdapat 11 ciri yang perlu dikaji untuk menentukan keberkesanan sekolah iaitu :

1. Kepemimpinan profesional
Ciri ini melihat tentang kepimpinan pengetua sama ada mempunyai visi dan matlamat untuk memajukan sekolah, mengamalkan pendekatan musyawarah, berkongsi tanggung jawab, melibatkan guru dalam membuat keputusan, memantau kemajuan pelajar, merancang strategi kurikulum, membantu amalan dan kualiti pembelajaran.

2. Perkongsian wawasan dan tujuan
Ciri ini melihat sama ada semua warga sekolah mempunyai visi dan matlamat sekolah yang sama dan bagaimana sekolah dapat berfungsi dengan baik. Selain daripada itu, sekolah juga mengamalkan kepiawaian disiplin dan guru-guru menjadi model contoh.
3. Persekitaran pembelajaran
Ciri ini menunjukkan iklim sekolah yang baik, menarik, tenang dan harmonis memberi pengaruh yang besar kepada pembelajaran berkesan. Disiplin kendiri para pelajar juga menjadi pra syarat kepada pembelajaran berkesan.
4. Tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran
Ciri ini menunjukkan bahawa tujuan utama sekolah adalah pengajaran dan pembelajaran kerana keberkesanan sekolah bergantung kepada keberkesanan pengajaran di dalam bilik darjah.  sSkolah harus memaksimumkan masa belajar, meningkatkan penggunaan masa belajar, mengagih masa untuk mata-mata pelajaran prioriti secara seimbang. Sebahagian besar masa guru ditumpukan pada pembelajaran murid dan guru sangat prihatin dengan pelajaran dan pembelajaran kognitif murid. Sekolah mengamalkan ketepatan masa belajar dan mengurangkan gangguan dari luar bilik darjah. Sekolah juga begitu menitikberatkan aspek-aspek ilmiah, mempunyai guru yang berpengetahuan mendalam dalam kurikulum, dan bertumpukan penguasaan kemahiran-kemahiran asas.

5. Pengajaran yang bertujuan
Kualiti pengajaran dan guru yang berkualiti merupakan inti pati kepada sekolah berkesan.
Dalam konteks pengajaran bertujuan, organisasi yang efisien dan mempunyai tujuan yang jelas, pengajaran yang berstruktur, dan amalan yang fleksibel merupakan ciri yang penting bagi sekolah berkesan.

6. Jangkaan kejayaan yang tinggi
Ciri ini bermaksud sekolah mempunyai jangkaan kejayaan yang tinggi terhadap murid-murid. Guru didapati sangat aktif dalam membantu pelajar dan yakin dengan pencapaian murid-murid. Guru juga sentiasa menzahirkan jangkaan mereka serta berkeyakinan terhadap pelajar yang merangsang mereka untuk berjaya.

7. Pengukuhan yang positif
Mortimore mendapati pengukuhan positif dalam bentuk hadiah dan insentif menjadi faktor penting bagi meningkatkan motivasi pelajar. Pentadbiran disiplin perlu bersih dan adil.

8. Memantau kemajuan
Sekolah berkesan sentiasa melakukan pemantauan terhadap kemajuan dan prestasi pelajar secara teratur.

9. Hak dan tanggungjawab pelajar
Sekolah berkesan juga menekankan usaha meningkatkan harga diri pelajar. Pelajar sepatutnya mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai kegiatan di sekolah. Sehubungan itu, sekolah harus merancang dan meletakkan tanggungjawab yang sesuai kepada mereka.

10. Hubungan rumah-sekolah
Hubungan rumah-sekolah juga sangat penting bagi meningkatkan keberkesanan sekolah. Hubungan ini seterusnya dieratkan melalui lawatan ibu bapa ke sekolah untuk berbincang tentang kemajuan anak-anak dengan guru di dalam bilik khas yang disediakan, sementara pengetua pula mengukuhkan lagi hubungan ini melalui dasar-dasar yang terbuka.

11. Organisasi Pembelajaran
Sekolah-sekolah berkesan juga mempunyai organisasi pembelajaran yang menggalakkan guru dan staf am terus meningkatkan ilmu profesional.

 
Pada pendapat saya, penambahbaikan sekolah bermakna sebarang perubahan yang dilakukan oleh pihak sekolah untuk meningkatkan keberkesanan sekolah. Perubahan yang dilakukan itu mestilah lebih baik daripada yang sedia ada. Selain daripada itu, perubahan yang ingin dilaksanakan itu juga mestilah dipersetujui oleh semua warga sekolah dengan pertimbangan yang rasional daripada semua pihak. Keputusan untuk melaksanakan perubahan mestilah dibuat secara bermusyawarah dan bukan keputusan seseorang individu.

No comments:

Post a Comment