Friday, 10 May 2013

Kepemimpinan pengetua


Tajuk artikel
School Leadership that makes a different : international perspectives
Penulis
Phillip Hallinger dan Stephen Huber
Tahun
Disember 2012
Terbitan / Jurnal
Routledge Taylor and Francis Group
School Effectiveness and School Improvement : An International Journal of Research, Policy and Practice

Pengenalan

Artikel ini ditulis dengan tujuan mengetahui gaya kepemimpinan pengetua yang mampu menjadikan sesebuah sekolah itu berbeza daripada sekolah lain. Kajian-kajian yang dilaksanakan adalah di Hong Kong, China, Netherlands, dan Amerika Syarikat.
Ulasan

Seorang pemimpin berkesan adalah pendorong dan peneraju organisasi yang berkesan. Ia boleh mendorong kakitangan dan mengubah mereka ke arah lebih baik atau lebih hebat dan mencapai wawasan organisasinya. Pemimpin yang berkesan mampu bertindak sebagai pembolehubah yang penting bagi organisasi. Untuk menangani arus perubahan yang begitu pesat dan semakin kompleks serta dinamik dalam arena pendidikan pada hari ini memerlukan pengetua yang mempunyai kepemimpinan yang berkesan. Keberkesanan kepemimpinan pengetua menjadikan sekolahnya berbeza daripada sekolah-sekolah yang lain.

Artikel ini telah mencadangkan kepemimpinan agihan (distributed leadership) sebagai suatu kepimpinan pengetua yang mampu untuk membawa perbezaan dalam kepemimpinan pengetua dan memberi pengaruh yang positif terhadap keberkesanan sekolah. 

 Kepemimpinan agihan secara konsepnya boleh dikatakan sebagai kesediaan pemimpin untuk berkongsi kepemimpinan dengan orang bawahan secara sukarela membangunkan kapasiti setiap individu di dalam organisasi. Kepemimpinan agihan ini lebih merupakan kepada amalan pemimpin yang bersedia menyebarluaskan dan mengagihkan tugasan, membuat keputusan, tanggungjawab dan akauntabiliti kepada orang-orang lain di bawahnya. Pengetua yang mengamalkan gaya kepimpinan ini seharusnya rela dan bersedia mengagihkan kuasa memimpin kepada orang bawahan dan rela membangunkan kepemimpinan guru-guru di bawah pimpinan mereka.

Selain daripada itu, artikel ini juga mendapati bahawa masa yang diperuntukkan oleh pengetua dalam aktiviti kepimpinannya juga memberi kesan yang positif kepada pencapaian pelajar dan pembangunan sekolah. Saya juga berpendapat bahawa pengetua seharusnya melibatkan diri dalam semua aktiviti pelajar dan guru untuk menunjukkan sokongan beliau kepada mereka. Sokongan dan keprihatinan pengetua sebenarnya memainkan peranan yang besar dan memberi makna yang sangat mendalam. Kesudian pengetua meluangkan masa dalam mana-mana aktiviti pelajar dan guru sesungguhnya amat dihargai oleh mereka.
 

Walau bagaimana pun, daripada kajian-kajian yang dilakukan di dapati bahawa jumlah masa yang diperuntukkan oleh pengetua dan keberkesanannya adalah berbeza mengikut budaya di sesuatu tempat. Keadaan ini di pengaruhi oleh ekonomi, sosiobudaya dan ciri-ciri sesebuah  institusi.

 

 

Kolaborasi antara sekolah


Tajuk artikel
Why Collaborate? The differing reasons for secondary school educators' establishment of school-community partnerships
Penulis
Catherine M. Hands
Tahun
June 2010
Terbitan / Jurnal
Routledge Taylor and Francis Group
School Effectiveness and School Improvement : An International Journal of Research, Policy and Practice

 Pengenalan
Artikel ini menerangkan tentang kepentingan dan peranan penglibatan komuniti di sekolah serta manfaat kolaborasi.

Ulasan
Tidak dapat dinafikan lagi sekolah dan masyarakat adalah dua entiti yang saling memerlukan serta saling melengkapi  antara satu sama lain. Sekolah sebagai sesebuah organisasi yang dinamik, terbuka, dan kompleks perlu mewujudkan dan mengekalkan hubungan saling bergantung dengan semua pihak luar. Tanpa unsur saling bergantung sekolah tidak dapat memainkan peranan dengan cekap dan berkesan untuk mencapai visi dan misinya. Hasil dari hubungan yang saling memerlukan di antara pihak sekolah dengan masyarakat akan melahirkan generasi baru yang seimbang dari jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial seperti yang dicita-citakan dalam falsafah Pendidikan Negara.

Salah satu ciri sekolah berkesan adalah membina hubungan baik antara pihak sekolah dan juga masyarakat. Oleh itu, saya berpendapat bahawa pendidikan sebenarnya adalah perkongsian tanggungjawab dan manfaat bersama antara sekolah, ibu bapa, kerajaan, agensi-agensi masyarakat dan sektor swasta. Perkongsian tanggungjawab memudahkan pertukaran sumber di antara sekolah dan masyarakat. Sebagai contoh, hubungan dengan pihak hospital memudahkan sekolah mengadakan lawatan untuk memberi pendedahan tentang kerjaya seorang doktor ataupun jururawat. Selain daripada itu, jika pihak sekolah mengadakan aktiviti sukan, merentas desa  dan sebagainya, bantuan daripada pihak polis dan hospital mudah diperoleh. Hakikatnya, pihak sekolah sememangnya sangat memerlukan bantuan komuniti setempat dalam pemnjaya pendidikan di sekolah.
 
Pengetua juga seharusnya menggalakkan guru-guru agar membina rangkaian dan memupuk budaya perkongsian bukan sahaja dengan komuniti setempat tetapi dengan sekolah-sekolah lain juga. Pada pandangan saya, setiap sekolah mempunyai kekuatan mereka sendiri dalam kecemerlangan dan keberkesanan. Jika pihak sekolah mewujudkan kolaborasi atau kerjasama dengan sekolah lain, mereka boleh mempelajari sedikit sebanyak budaya dan kecemerlangan sesebuah sekolah itu.  Selain daripada itu, perkongsian atau bekerjasama dalam  aktiviti pelajar juga boleh membantu meningkatkan motivasi pelajar. Bagi pihak pengurusan pula, kerjasama antara dua buah sekolah dalam komuniti yang sama  memudahkan mereka agar lebih memahami pengaruh komuniti tersebut kepada pelajar dan kesannya terhadap sekolah. Perkongsian aktiviti juga dilihat dapat membantu memberi sokongan dari segi sumber, kewangan dan sosial.

Selain daripada itu, kolaborasi antara pihak sekolah dan masyarakat akan menggalakkan perkongsian pengalaman ibu bapa dengan pelajar dan seterusnya dapat meningkatkan pencapaian pelajar. Bukan itu sahaja, reputasi sekolah dapat ditingkatkan jika mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat. Masyarakat akan memandang tinggi kepada sekolah yang berkesan dan sentiasa memberikan persepsi yang positif. Jika ada sebarang masalah yang timbul, masyarakat tidak akan mudah membuat interpretasi negatif terhadap sekolah. 

Kesimpulan

Dapat dirumuskan di sini bahawa pendidikan tidak hanya berlaku di dalam sekolah malah boleh juga berlaku di luar kawasan sekolah. Untuk memastikan bahawa pendidikan dapat berjalan seperti yang sepatutnya, hubungan antara sekolah dan masyarakat perlu diperbaiki. Sekolah memerlukan sokongan masyarakat untuk memastikan bahawa pendidikan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Begitu juga masyarakat memerlukan sekolah untuk memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sewajarnya. Kolaborasi antara sekolah dan sekolah, sekolah dan masyarakat adalah perlu untuk menyokong antara satu sama lain bagi membantu meningkatkan pencapaian sekolah masing-masing.

Bagaimana kepimpinan mempengaruhi pencapaian pelajar.


Tajuk artikel
How does leadership affect student achievement? Results from a
national US survey
Penulis
Karen Seashore Louis*, Beverly Dretzke and Kyla Wahlstrom
Tahun
September 2010
Terbitan / Jurnal
Routledge Taylor and Francis Group
School Effectiveness and School Improvement : An International Journal of Research, Policy and Practice

 Pendahuluan

Kajian yang telah dilaksanakan di Amerika Syarikat ini memberi fokus kepada sifat-sifat  kepemimpinan pengetua yang memberi kesan kepada guru dan tugas mereka serta menyumbang kepada pencapaian pelajar. 3 sifat kepimpinan yang diberi fokus adalah perkongsian kepimpinan dengan guru, membangunkan kepercayaan dalam hubungan professional dan menyediakan sokongan terhadap penambahbaikan dalam arahan. Pengkaji mempercayai bahawa ketiga-tiga perkara ini akan memberi kesan kepada  tugas guru antara satu sama lain dan juga terhadap amalan pengajaran mereka. Pengkaji juga berpendapat bahawa tingkah laku pengetua juga menyumbang kepada pencapaian pelajar.
Ulasan

Ciri-ciri kepimpinan yang dikaji merujuk kepada kepemimpinan instruksional. Menurut Blaise and Blaise (1998) kepimpinan instruksional merupakan gabungan penyeliaan, pembangunan staf dan perkembangan kurikulum yang berkait rapat dengan proses pengajaran dan pembelajaran termasuk pembelajaran profesional guru dan perkembangan pelajar.
Kepimpinan instruksional haruslah melibatkan perbincangan dengan guru iaitu menggalakkan perkembangan profesional guru, membina kemahiran refleksi kendiri guru, prihatin terhadap hasil kerja guru, memberi motivasi dan autonomi. Pengetua juga seharusnya mahir dalam pemerhatian kelas, kaedah pengajaran dan pembelajaran, memahami dan menganalisis data P&P, mempunyai kemahiran berkomunikasi dan memahami latar belakang guru. Kesemua perkara ini adalah perlu untuk membolehkan pengetua mengadakan perbincangan yang berkesan dengan guru-guru.

Pengetua yang mahir dalam pemerhatian kelas dan kaedah pengajaran dan pembelajaran boleh membantu guru untuk membuat penambahbaikan dalam amalan pengajaran mereka. Kemahiran pengetua dalam memahami dam menganalisis data P&P membantu guru agar lebih prihatin terhadap keberkesanan P&P mereka. Dengan memahami latar belakang guru, pengetua dapat membina kepercayaan terhadap guru dan memberi autonomi kepada mereka.
Membina kepercayaan terhadap guru adalah perkara penting dalam kepimpinan. Jika pengetua tidak meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada guru menyebabkan guru sukar untuk bekerja. Syak wasangka terhadap guru akan menimbulkan kesusahan dan kesulitan untuk guru bekerja dan bertindak. Guru juga menjadi tidak selesa dan akibatnya, hubungan guru dan pengetua menjadi renggang atau tidak baik langsung.

Sebagai peneraju utama sesebuah sekolah, pengetua mestilah seorang yang mempunyai fizikal yang cergas dan emosi yang stabil. Pengetua juga mestilah seorang yang berwawasan dan mempunyai keazaman yang tinggi. Paling utama, pengetua mestilah bersikap positif, kreatif dan inovatif agar dapat membantu guru menyalurkan idea yang kreatif dan inovatif juga.
Pengetua yang senang didekati seharusnya mempunyai komunikasi yang berkesan dan bermotivasi dan seterusnya hubungan baik dengan guru dapat dibentuk. Ramai pengetua berpendapat bahawa membina hubungan baik dengan guru menyebabkan guru akan pijak kepala mereka. Ini adalah tidak benar. Saya berpendapat bahawa jika pengetua mempunyai hubungan yang baik dengan guru dan staf, apa sahaja yang tugasan yang diberikan oleh pengetua kepada guru adalah sukar guru menolaknya.

Selain daripada itu, hubungan yang baik dengan guru memudahkan pengetua membentuk kerja berpasukan dan bermusyawarah. Pengetua juga akan merasa lebih mudah hendak mengawal aktiviti-aktiviti di sekolah. Pengetua seharusnya menjadi model kepada guru dan pelajar. Pengetua yang berkarisma menyebabkan guru, staf dan pelajar menghormati dan merasa segan dengannya.
Pengetua juga hendaklah menggalakkan pembangunan profesional di kalangan guru-gurunya. Pengetua hendaklah menyediakan program latihan pembangunan staf yang sesuai dengan keperluan guru. Jika ada guru yang mempunyai inisiatif untuk meningkatkan pendidikan mereka ke peringkat yang lebih tinggi, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memberi sokongan dan kemudahan kepada mereka.

Kesemua ciri kepimpinan pengetua yang dinyatakan di atas di dapati boleh membantu meningkatkan prestasi pelajar secara langsung dan juga tidak langsung.
Kesimpulan

Pengetua seharusnya mempunyai budaya peningkatan ilmu yang berterusan untuk dirinya sendiri dan juga guru-gurunya. Pengetua hendaklah sentiasa membuat refleksi diri untuk menangani masalah, isu dan juga cabaran yang timbul. Ilmu pengetahuan yang tinggi dalam kurikulum dan pedagogi seperti pencerapan, penyeliaan dan pengurusan kelas dapat membantu pengetua menjalankan tugasnya dengan berkesan.

Selain daripada itu, memupuk budaya kerja berpasukan dan permuafakatan dalam membuat keputusan menjadi teras kepada kejayaan sekolah. Kemahiran komunikasi yang berkesan membantu pengetua menjalin hubungan baik dengan warga sekolah dan komuniti. Pengetua yang menganggap kerjanya sebagai suatu ibadah lebih mudah menangani masalah seharian yang timbul. 

 

Jurang antara sekolah luar bandar dan sekolah di bandar dalam kualiti pendidikan


Tajuk artikel
Educational quality differences in a middle-income country : The urban - rural gap in Malaysian primary schools
Penulis
Mariam Othman & Daniel  Muijs
Tahun
Julai 2012
Terbitan / Jurnal
Routledge Taylor and Francis Group
School Effectiveness and School Improvement : An International Journal of Research, Policy and Practice

 Pendahuluan
Artikel ini ditulis berdasarkan kajian yang dilakukan di Malaysia yang ingin melihat jurang perbezaan di antara sekolah di luar bandar dan  sekolah di bandar dari segi sumber pendidikan, iklim sekolah, kepemimpinan dan penglibatan ibu bapa terhadap pencapaian pelajar.
Ulasan
Dalam satu majlis pecah tanah di negeri Johor, Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pelajaran telah menyatakan bahawa pencapaian pelajar di sekolah luar bandar adalah lebih rendah berbanding sekolah di kawasan bandar. Beliau menyatakan bahawa kemungkinan terdapatnya jurang ini adalah disebabkan oleh infrastruktur yang tidak lengkap, kurang peralatan, kualiti guru, kurang guru, persekitaran pembelajaran yang tidak sesuai atau sikap ibu bapa yang menyebabkan anak-anak hilang tumpuan terhadap pelajaran. Oleh yang demikian, kerajaan sedang mengambil langkah-langkah untuk merapatkan jurang tersebut.
Melalui kajian ini didapati bahawa tidak terdapat perbezaan yang ketara di antara sekolah di luar bandar dan di  bandar, dari segi sumber pendidikan, kepemimpinan  sekolah dan penglibatan ibu bapa. Di Malaysia semua sumber pendidikan seperti kemudahan, bahan-bahan pengajaran, gaji dan kelayakan guru-guru adalah diagihkan secara sama rata di semua sekolah tidak kira sama ada sekolah di bandar atau di luar bandar.
Walau bagaimanapun, sekolah luar bandar didapati mempunyai iklim sekolah yang sedikit berbeza daripada iklim sekolah di bandar. Iklim sekolah yang dimaksudkan di sini merujuk kepada beberapa perkara iaitu kekaburan tugas, kuasa yang berpusat dan formal, suasana kerja, pencerapan, pembangunan kerjaya, penglibatan dalam membuat keputusan dan persepsi guru dan juga pelajar. Guru-guru di sekolah luar bandar merasakan bahawa mereka kurang diberi pengupayaan (lack of empowerment) terutama dalam membuat keputusan. Kemungkinan juga perbezaan iklim ini disebabkan oleh rasa tidak puas hati terhadap ciri-ciri pelajar luar bandar seperti status sosioekonomi.
Kebanyakan guru menyedari bahawa mereka perlu memberi lebih perhatian terhadap  proses pengajaran dalam memastikan pengajaran berkualiti. Mereka juga menyedari kepentingan untuk menambah baik profesionalisme keguruan dalam meningkatkan kualiti pengajaran. Namun begitu, guru-guru tidak kira sama ada di sekolah luar bandar mahupun di sekolah bandar adalah sangat terbeban dengan tugas-tugas lain yang tidak berkaitan dengan tugas hakiki mereka iaitu mengajar. Keadaan ini menjadi kekangan kepada guru-guru untuk menjadi lebih fokus kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Didapati bahawa 50% daripada masa guru-guru digunakan untuk tugas-tugas yang tidak berkaitan dengan pengajaran.  
Jika keadaan ini tidak ditangani dengan segera akan menyebabkan guru-guru merasa stress dan akhirnya boleh menyebabkan "burn-out". Jika guru merasa tekanan, kualiti pengajaran akan menurun dan boleh memberi kesan negatif kepada pencapaian pelajar. selain daripada itu, Guru-guru yang di hantar ke kawasan luar bandar kebanyakannya tidak rela untuk berkhidmat di tempat-tempat tersebut. Mungkin ini juga menjadi faktor guru-guru di kawasan luar bandar tidak menunjukkan kualiti pengajaran dan prestasi yang baik.
Selain daripada itu, kesan tugas yang terlalu banyak dan sentiasa hadir bertimpa-timpa, menyebabkan guru hilang minat untuk meningkatkan pembangunan profesionalisme mereka. Kesibukan guru pada hari ini menyebabkan guru mengambil keputusan untuk tidak menyambung pelajaran dan mengharapkan pihak sekolah atau kementerian yang menguruskan hal perkembangan kerjaya mereka. Jika pihak sekolah tidak mengambil kisah akan hal ini maka guru tersebut akan kekal begitu tanpa penambahan ilmu pengetahuan.
 
Kajian ini juga mendapati bahawa persepsi guru juga memainkan peranan penting dalam menentukan kualiti pengajaran di sekolah. Pada pendapat saya persepsi yang dimaksudkan ini adalah persepsi guru terhadap mata pelajaran tertentu yang dianggap penting dan sebaliknya. Tidak dinafikan bahawa sesetengah guru menganggap bahawa mata pelajaran mereka sahaja yang bagus dan penting serta perlu diberi kemudahan, manakala mata pelajaran lain tidak penting dan tidak perlu diberi penekanan. Sikap sebegini juga boleh menyebabkan kualiti pendidikan dan pencapaian pelajar berada pada tahap yang rendah. Perlu diingat bahawa setiap mata pelajaran mempunyai peranannya masing-masing terhadap pencapaian pelajar. Kejayaan pelajar tidak diukur berdasarkan satu-satu mata pelajaran sahaja.
Persepsi guru terhadap pelajar di sekolah luar bandar dan sekolah di kawasan luar bandar juga memainkan peranan penting. Guru di kawasan luar bandar lebih cenderung mempunyai persepsi negatif terhadap pelajar mereka terutamanya jika pencapaian pelajar itu kurang. Sebagai guru adalah perlu untuk menyelidiki latar belakang pelajar dan keluarganya  yang rata-ratanya berpendapatan rendah. Persepsi  ini bahawa pelajar luar bandar tidak berminat untuk belajar perlu diubah.
Persepsi bahawa pelajar sekolah luar bandar sememangnya tidak boleh berjaya seperti sekolah di kawasan bandar  juga perlu dikikis dan dibuang jauh dari hati guru-guru. Guru seharusnya berusaha bersungguh-sungguh untuk  membantu pelajar misalnya dengan mengadakan kolaborasi dengan sekolah-sekolah di kawasan bandar. Perkongsian ilmu boleh membantu motivasi guru dan juga pelajar.
Kesimpulan
Saya berpendapat bahawa keadaan sosioekonomi pelajar tidak boleh dijadikan alasan kenapa pelajar di kawasan luar bandar mempunyai pencapaian yang lebih rendah berbanding sekolah di kawasan bandar. Dari segi infrastruktur, kerajaan telah berusaha untuk memberikannya secara adil dan saksama. Segalanya terpulang kepada guru untuk meningkatkan pencapaian pelajar atau pun tidak. Beban tugas guru perlu dikaji semula dan diberi perhatian serius kerana gurulah yang akan mendidik anak bangsa menjadi pemimpin. Jika guru mengalami stres bagaimana ingin membangunkan anak bangsa.

Kesan Pembangunan Professional ke atas Pencapaian Pelajar


Tajuk artikel
Impact of Professional Development on the Performance of Secondary School Principals: A Managerial Perspective
Penulis
Syed Manzoor Hussain Shah, Nareed Sultana, Khawaja Sabir Hassain, Imtiaz Ali
Tahun
Disember 2011
Terbitan / Jurnal
International Journal of Management

 Pengenalan
Artikel di atas mengkaji tentang kesan pembangunan profesional ke atas prestasi 31 orang pengetua sekolah menengah di Rawalpindi, Pakistan.  Daripada kajian ini didapati bahawa jika seorang pengetua dapat menjalani latihan profesional sebelum memulakan perkhidmatan sebagai pengetua, ia akan memberi kesan yang positif ke atas tugas-tugas pengetua sebagai seorang pengurus sekolah, akademik, kewangan, personnel dan sebagainya.
 
Ulasan

 Secara umumnya, saya bersetuju dengan pendapat kajian ini  bahawa  pembangunan atau latihan profesional perlu diberikan kepada pengetua sebelum beliau memulakan perkhidmatan. Seorang pengetua seperti di MRSM biasanya dilantik disebabkan oleh kekananannya dalam perkhidmatan. Kebanyakan bakal pengetua biasanya tidak menjalani latihan profesionalisme kepengetuaan sebelum mereka memulakan tugas sebagai pengetua.

Saya berpendapat bahawa seorang pengetua perlu diberi latihan kepengetuaan terlebih dahulu sebelum beliau memulakan tugas sebagai pengetua. Latihan kepengetuaan yang diberi sebenarnya banyak membantu pengetua dalam menjalankan tugasnya yang baru. Kepimpinan pengetua akan lebih berkesan sekiranya beliau mempunyai ilmu kepimpinan yang diperoleh secara formal. Walaupun ada pengetua yang dapat menjalankan tugas-tugas pengetua dengan baik dan berkesan tanpa sebarang latihan yang formal namun bilangannya adalah sangat sedikit. Kebanyakan pengetua yang tidak menerima latihan secara formal ini lebih menumpukan kepada tugas mengurus sekolah dan tidak begitu menghiraukan tentang proses pengajaran dan pembelajaran, penyeliaan, pembangunan profesional guru dan staf dan macam-macam lagi.

Latihan atau pembangunan profesional bukan sahaja diperlukan sebelum pengetua memegang jawatan, tetapi latihan yang berterusan juga perlu diberi. Seorang pengetua mestilah sentiasa up to date dengan sebarang perubahan dan kepimpinan untuk menambah baik tugasnya.

Sebagai pengurus sekolah, pengetua sememangnya memerlukan latihan profesional dalam pengurusan untuk membantu beliau merancang, mengelola, dan mengawal aktiviti sekolah. Latihan ini juga dapat membantu pengetua menggunakan segala sumber yang ada dengan cekap dan berkesan serta mampu membina wawasan yang selari dengan dasar dan polisi kerajaan.
 
Dalam pengurusan akademik pula, latihan profesional dapat membantu pengetua menerapkan kemahiran mengagih mata pelajaran yang sesuai dengan kemahiran profesional guru. Misalnya guru yang mengambil subjek Matematik sebagai subjek utama di universiti atau maktab, diberi tugasan mengajar subjek Matematik di sekolah. Pengetua juga memerlukan kemahiran bimbingan dan kaunseling untuk diberi kepada para pelajar dan juga guru. Selain daripada itu, pengetua juga perlu dilatih dengan kemahiran mengelola dan mengendalikan peperiksaan dalaman dan luaran, mengurus dan menyelia semua kegiatan kurikulum dan kokurikulum dalam suasana yang kondusif. Proses ini dapat membantu meningkatkan prestasi guru dan juga kecemerlangan pelajar.

Sebagai pengurus personel, pengetua harus tahu tentang proses pendaftaran, pengesahan dalam jawatan, penempatan ke jawatan berpencen dan jenis cuti guru. Pengetua juga perlu dilatih untuk membantu staf sokongan menentukan sasaran kerja dan berbincang dari semasa ke semasa mengenai sasaran dan mutu kerja mereka. Pengetua juga harus tahu untuk menentukan tugasan dan bidang kerja serta menyelia staf-stafnya sepanjang tahun supaya penilaian prestasi yang adil dan saksama dapat dibuat untuk semua staf.
        
Dalam pengurusan kewangan, pengetua perlu dilatih dan dibimbing untuk menentukan anggaran perbelanjaan tahunan sekolah, mengawal dan menyemak perbelanjaan per kapita,  penyimpanan rekod  akaun, laporan penyata kewangan dan punca-punca kewangan. Pengetua juga perlu merancang dengan bijak penggunaan dana secara optimum untuk kecemerlangan sekolah.
    
Seterusnya, pengetua juga perlu diberi kemahiran komunikasi dan perhubungan awam. Latihan profesional ini adalah untuk membolehkan pengetua menjalin hubungan baik antara sekolah dengan ibu bapa dan komuniti setempat. Ibu bapa dan komuniti setempat perlu diberi perhatian kerana mereka merupakan salah satu sumber dana dan pelaksanaan aktiviti. Pengetua juga memerlukan kemahiran membuat keputusan yang rasional untuk sekolah dan jabatan-jabatan yang tertentu. Ini juga perlu untuk menangani konflik yang wujud di kalangan stafnya dengan berkesan untuk mengekalkan keharmonian di sekolah.

Kesimpulan

Keberkesanan sesebuah sekolah bergantung kepada keberkesanan kepimpinan pengetua mengendalikan seluruh sekolah termasuk segala sumber yang ada. Oleh yang demikian, pembangunan profesional seorang pengetua seharusnya di titik beratkan dan hendaklah betul dan tepat dengan tugas seorang pengetua. Pendidikan yang tinggi tidak menjamin seseorang pengetua dapat menjalankan tugasnya secara berkesan. Pengetua memerlukan latihan profesional yang praktikal dan boleh membantu beliau melaksanakan tugasnya dengan cekap dan berkesan.

Thursday, 18 April 2013

Konsep Penambahbaikan Sekolah

If you put a frog in water and slowly heat it, the frog will eventually let itself be boiled to death. We too, will not survive if we don't respond to the radical way in which the world is changing" Charles Handy...

Pernyataan ini menunjukkan jika kita tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku yang sentiasa menekan diri sendiri, kita akan mati. Ini menggambarkan keadaan di sekolah yang perlu menangani kehendak masyarakat.

Soalannya apakah perubahan pada hari ini yang memerlukan warga sekolah berubah? Adakah sekolah anda memastikan perkara ini berlaku sekiranya anda seorang pemimpin sekolah?


 
Jawapan :
 
Pada pendapat saya,  sekolah  memang perlu membuat perubahan mengikut keperluan dan perubahan globalisasi. Saya teringat kata-kata dari Micheal Fullan (1992) yang mengatakan bahawa "although all change is not improvement,    all improvement involves change". Ini menunjukkan bahawa untuk membuat penambahbaikan sesebuah sekolah sememangnya perlu membuat perubahan terlebih dahulu. 

Perubahan semasa yang saya maksudkan di sini adalah seperti keperluan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran (p & p), kemudahan penggunaan internet di bilik darjah, membina hubungan dengan sekolah lain di peringkat antarabangsa, penggunaan laptop atau IPad dalam kalangan pelajar dan sebagainya.

Saya berpendapat bahawa guru-guru perlu berubah untuk menjadi lebih kreatif terutama dalam p&p. Para pelajar pada hari ini tidak lagi gemar mendengar sahaja apa yang disampaikan oleh guru. Mereka mudah merasa bosan dan mengantuk di dalam bilik darjah. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya guru mengubah cara pengajaran. Salah satu cara adalah guru tidak lagi mengajar sebaliknya meminta pelajar pula yang menyampaikan pengajaran. Pelajar perlu memahami dan membuat rujukan terlebih dahulu tentang topik yang hendak disampaikan. Pelajar perlu memastikan rakan-rakannya mendapat apa yang ingin disampaikan. Guru pula bertindak sebagai pemudah cara dan memperbetulkan konsep yang salah. Untuk menjayakan langkah ini, guru mestilah lebih terbuka dan mempercayai bahawa pelajar mampu melakukannya.

Saya juga berpendapat bahawa seorang pendidik seharusnya up to date dengan teknologi terkini atau sekurang-kurangnya mahir dalam penggunaan komputer dan software. Guru tidak sepatutnya mengatakan bahawa dia tidak tahu atau tidak pandai menggunakan komputer. Kemahiran menggunakan komputer dan internet dapat membantu guru membuka minda mereka terhadap dunia luar yang serba mencabar.

Selain daripada itu, saya juga merasakan bahawa guru perlu mengubah sikap mereka yang lebih mementingkan pencapaian kelas masing-masing dan kurang perasaan ingin berkongsi dengan orang lain (sharing). Sesungguhnya, perkongsian ilmu  itu memberi manafaat kepada ramai orang dan sangat dituntut oleh agama Islam.

JIka saya merupakan pemimpin sekolah, perubahan-perubahan seperti inilah yang saya akan laksanakan.Namun begitu, perubahan-perubahan ini tidaklah dilakukan secara drastik. Saya akan menggunakan pelbagai pendekatan untuk memastikan guru-guru menerima rasional perubahan yang ingin saya laksanakan.


Apakah yang anda faham dengan sekolah berkesan dan penambahbaikan sekolah?

Pada pendapat saya, sekolah berkesan tidak tertakluk kepada sekolah yang dapat mengekalkan prestasi akademik yang cemerlang sahaja. Jika sebuah sekolah dapat mengatasi masalah ponteng di kalangan pelajar-pelajarnya, ia juga boleh dianggap sebagai sekolah berkesan. Mengikut model keberkesanan yang dicadangkan oleh Mortimore, terdapat 11 ciri yang perlu dikaji untuk menentukan keberkesanan sekolah iaitu :

1. Kepemimpinan profesional
Ciri ini melihat tentang kepimpinan pengetua sama ada mempunyai visi dan matlamat untuk memajukan sekolah, mengamalkan pendekatan musyawarah, berkongsi tanggung jawab, melibatkan guru dalam membuat keputusan, memantau kemajuan pelajar, merancang strategi kurikulum, membantu amalan dan kualiti pembelajaran.

2. Perkongsian wawasan dan tujuan
Ciri ini melihat sama ada semua warga sekolah mempunyai visi dan matlamat sekolah yang sama dan bagaimana sekolah dapat berfungsi dengan baik. Selain daripada itu, sekolah juga mengamalkan kepiawaian disiplin dan guru-guru menjadi model contoh.
3. Persekitaran pembelajaran
Ciri ini menunjukkan iklim sekolah yang baik, menarik, tenang dan harmonis memberi pengaruh yang besar kepada pembelajaran berkesan. Disiplin kendiri para pelajar juga menjadi pra syarat kepada pembelajaran berkesan.
4. Tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran
Ciri ini menunjukkan bahawa tujuan utama sekolah adalah pengajaran dan pembelajaran kerana keberkesanan sekolah bergantung kepada keberkesanan pengajaran di dalam bilik darjah.  sSkolah harus memaksimumkan masa belajar, meningkatkan penggunaan masa belajar, mengagih masa untuk mata-mata pelajaran prioriti secara seimbang. Sebahagian besar masa guru ditumpukan pada pembelajaran murid dan guru sangat prihatin dengan pelajaran dan pembelajaran kognitif murid. Sekolah mengamalkan ketepatan masa belajar dan mengurangkan gangguan dari luar bilik darjah. Sekolah juga begitu menitikberatkan aspek-aspek ilmiah, mempunyai guru yang berpengetahuan mendalam dalam kurikulum, dan bertumpukan penguasaan kemahiran-kemahiran asas.

5. Pengajaran yang bertujuan
Kualiti pengajaran dan guru yang berkualiti merupakan inti pati kepada sekolah berkesan.
Dalam konteks pengajaran bertujuan, organisasi yang efisien dan mempunyai tujuan yang jelas, pengajaran yang berstruktur, dan amalan yang fleksibel merupakan ciri yang penting bagi sekolah berkesan.

6. Jangkaan kejayaan yang tinggi
Ciri ini bermaksud sekolah mempunyai jangkaan kejayaan yang tinggi terhadap murid-murid. Guru didapati sangat aktif dalam membantu pelajar dan yakin dengan pencapaian murid-murid. Guru juga sentiasa menzahirkan jangkaan mereka serta berkeyakinan terhadap pelajar yang merangsang mereka untuk berjaya.

7. Pengukuhan yang positif
Mortimore mendapati pengukuhan positif dalam bentuk hadiah dan insentif menjadi faktor penting bagi meningkatkan motivasi pelajar. Pentadbiran disiplin perlu bersih dan adil.

8. Memantau kemajuan
Sekolah berkesan sentiasa melakukan pemantauan terhadap kemajuan dan prestasi pelajar secara teratur.

9. Hak dan tanggungjawab pelajar
Sekolah berkesan juga menekankan usaha meningkatkan harga diri pelajar. Pelajar sepatutnya mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai kegiatan di sekolah. Sehubungan itu, sekolah harus merancang dan meletakkan tanggungjawab yang sesuai kepada mereka.

10. Hubungan rumah-sekolah
Hubungan rumah-sekolah juga sangat penting bagi meningkatkan keberkesanan sekolah. Hubungan ini seterusnya dieratkan melalui lawatan ibu bapa ke sekolah untuk berbincang tentang kemajuan anak-anak dengan guru di dalam bilik khas yang disediakan, sementara pengetua pula mengukuhkan lagi hubungan ini melalui dasar-dasar yang terbuka.

11. Organisasi Pembelajaran
Sekolah-sekolah berkesan juga mempunyai organisasi pembelajaran yang menggalakkan guru dan staf am terus meningkatkan ilmu profesional.

 
Pada pendapat saya, penambahbaikan sekolah bermakna sebarang perubahan yang dilakukan oleh pihak sekolah untuk meningkatkan keberkesanan sekolah. Perubahan yang dilakukan itu mestilah lebih baik daripada yang sedia ada. Selain daripada itu, perubahan yang ingin dilaksanakan itu juga mestilah dipersetujui oleh semua warga sekolah dengan pertimbangan yang rasional daripada semua pihak. Keputusan untuk melaksanakan perubahan mestilah dibuat secara bermusyawarah dan bukan keputusan seseorang individu.