Friday, 22 March 2013

Bagaimana pengetua memimpin guru tanpa menggunakan kuasa dan kedudukan


Pengetua sentiasa disifatkan sebagai pemimpin sekolah kerana kedudukan dan jawatannya yang berwibawa. Pengetua dianggap sebagai orang penting yang boleh mencorakkan pencapaian cemerlang sekolah melalui keterampilan, dedikasi dan keperibadian yang ada pada dirinya.

Pada pendapat saya, pengetua yang memimpin guru tanpa menggunakan kuasa dan kedudukannya merupakan pengetua yang mengamalkan gaya kepimpinan demokratik. Kajian-kajian terdahulu mengatakan bahawa sesuatu perubahan dan inovasi memerlukan keadaan yang dapat menggerakkannya supaya ia dapat dilaksanakan. Salah satu penggerak itu adalah dengan mengamalkan kepimpinan demokrasi.

Pengetua yang tidak menggunakan kuasa dan kedudukannya akan sentiasa memberi peluang kepada guru dan pelajar untuk terlibat sama dalam perancangan dan membuat keputusan tentang sesuatu perubahan yang ingin dilaksanakan. Cara ini boleh menimbulkan semangat kesanggupan untuk bekerjasama dalam melaksanakan sesuatu program dan seterusnya memberi kepuasan kepada mereka. Pengetua ini juga cenderung untuk melibatkan stafnya bersama-sama dalam menyelesaikan masalah yang timbul. Penglibatan guru dan staf lain dalam perbincangan dan membuat keputusan bersama boleh menimbulkan suasana yang kondusif. Keadaan ini menyebabkan guru-guru lebih gembira dan bersemangat. Sesi perbincangan seperti ini memberi kesempatan kepada guru untuk mencetuskan idea-idea yang difikirkan masing-masing serta membuat teguran yang positif tanpa merasa takut atau rendah diri terhadap rakan setugas yang lain.

Selain daripada itu, pengetua mestilah seorang yang berketerampilan, cekap dan mahir dalam memanipulasikan strategi dan keadaan demi untuk menjamin keberkesanan yang maksimum. Kemahiran ini termasuklah aspek perancangan, pengelolaan, penjadualan dan penyelarasan. Pengetua juga mestilah mahir dan cekap dalam perhubungan manusia dan perhubungan inidividu serta mampu menggerakkan atau memotivasikan stafnya.

Pengetua juga mestilah memainkan peranan sebagai penghulu yang memberi isyarat tentang nilai dan kepentingan atau tujuan sesuatu yang hendak dicapai melalui perbincangan. Ini termasuklah aktiviti seperti melawat kebilik darjah dan di kawasan sekolah , mengetuai upacara rasmi di sekolah . Di samping itu pengetua yang memainkan peranan ini juga mempunyai wawasan sebagai satu unsur kepimpinannya . Kepimpinan seperti ini meletakkan pengetua sebagai tumpuan perhatian bagi semua guru dan pelajar.

Pengetua juga merupakan pemimpin budaya dan sangat penting bagi mencapai kecermelangan sekolah . Pengetua berusaha mencari, mentafsir dan memperkukuhkan nilai, kepercayaan dan unsur budaya yang dapat menjadikan sekolah itu sebagai sebuah sekolah yang unik. Salah satu caranya termasuklah mengadakan aktiviti sosialisasi guru dan pelajar dengan budaya sekolah. Ini termasuklah mengadakan upacara memberi hadiah atau penghargaan kepada sesuatu kejayaan yang dicapai . Kepimpinan seperti ini sering memperlihatkan usaha bagi mengekalkan imej dan prestij sekolah . Di samping itu , peranan ini juga melibatkan usaha untuk menarik perhatian setiap orang guru dan pelajar di sekolah dan juga orang lain terhadap pencapaian matlamat sekolah dan perhubungan yang mesra .

Pengetua juga perlu menanamkan sifat menghormati organisasi sekolah lain yang cemerlang tetapi pada masa yang sama masih sedia bersaing dengan mereka. Persaingan yang sihat ini sebenarnya menjadi pendorong kepada seluruh warga sekolah untuk berusaha dengan lebih gigih. Beliau juga perlu mengaplikasikan konsep dorongan kendiri di kalangan warga sekolah demi kemajuan sekolah. Guru dan staf serta pelajar yang mempunyai dorongan kendiri yang tinggi sentiasa mengetahui tugas yang perlu dilaksanakan tanpa perlu diarahkan atau dimarahi. Beliau juga perlu menjadi contoh tauladan dengan menunjukkan disiplin diri yang tinggi kepada seluruh warga sekolah. Ini menyebabkan guru dan staf lain merasa segan dan malu untuk melanggar disiplin.

Kesimpulannya, pengetua yang tidak menggunakan kuasa atau kedudukannya dalam kepimpinannya mestilah membina hubungan baik dan mesra dengan seluruh warga sekolahnya tetapi pada masa yang sama tetap tegas. Pengetua yang menghormati subordinatnya sesungguhnya akan dihormati oleh mereka. Sikap saling hormat menghormati ini juga dapat mewujudkan suasana yang kondusif dan positif di kalangan warga sekolah. Selain daripada itu, apabila pengetua memberikan tugasan atau melaksanakan sesuatu perubahan, subordinat akan merasa segan untuk menolak atau membuat sambil lewa. Sebaliknya, mereka akan berusaha untuk membuat yang terbaik.

Jika pengetua yang memimpin tanpa menggunakan kuasa juga seharusnya memberi kepercyaan kepada subordinatnya untuk melaksanakan tugasan mereka. Namun begitu pemantauan secara berkala perlu diberikan juga.

Thursday, 21 March 2013

Pendekatan Dalam Melaksanakan Perubahan

Dalam sesebuah sekolah, sesuatu perubahan itu dilakukan demi kemajuan sekolah dan sumber tenaga manusia yang menggerakkan sekolah tersebut. Perubahan dalam sekolah adalah sesuatu yang tidak dapat dihindarkan. Perubahan membawa maksud proses penukaran daripada apa yang sedia ada ke arah kebaikan ataupun sebaliknya.
 
Apabila perubahan dilakukan, sekolah akan berdepan dengan pelbagai ragam guru dan pelajar yang mungkin menyetujui perubahan dilaksanakan ataupun menentang perubahan berkenaan. Oleh yang demikian, sesuatu perubahan yang dilaksanakan di sekolah perlu dirancang dengan rapi supaya ia boleh diterima dan mendatangkan hasil yang positif. Adalah menjadi tanggungjawab sekolah untuk menerangkan secara terperinci sebab mengapa perubahan perlu dilakukan agar ianya mendapat sambutan dan sokongan daripada semua pihak. Di samping itu, guru dan pelajar juga boleh bersedia untuk menghadapi risiko akibat perubahan yang dilakukan dan mengatasi halangan-halangan  tertentu  secara bersama.
 
Terdapat beberapa langkah dalam menjana perubahan sekolah. Sekolah perlu terlebih dahulu mengiktiraf keperluan untuk perubahan. Terpulang kepada sekolah sama ada mahu menjalankannya secara formal atau tidak formal. Maklumat formal boleh diperolehi melalui kajiselidik, manakala maklumat tidak formal pula bergantung kepada situasi-situasi tertentu seperti prestasi, ketidakhadiran dan sebagainya. Apabila terdapat penentangan terhadap perubahan, ianya mungkin ditonjolkan melalui perlakuan seperti produktiviti menurun, malas bekerja, dan sebagainya. Persetujuan daripada guru dan pelajar dalam sekolah perlu diambil agar tidak akan ada pihak yang tidak berpuas hati terhadap pembaharuan yang cuba dilakukan. Mereka juga perlu diberi kebebasan untuk menyatakan ketidakpuasan hati sekiranya perubahan dijalankan agar ianya boleh diperbaiki terlebih dahulu sebelum dilaksanakan. Apabila maklumat tersebut diperolehi, sekolah perlu diagnosis masalah iaitu menganalisis simpton-simpton yang diperolehi dengan cara mencari jawapan kepada setiap persoalan yang dikaji. Sekolah perlu mencari punca masalah, sebab-sebab perubahan diperlukan, dan matlamat yang dijangkakan terhadap perubahan. Proses ini boleh dilakukan melalui beberapa kaedah seperti soal selidik, temubual, pemerhatian langsung, dan buku rekod guru. Seterusnya, sekolah perlu membina alternatif perubahan. Pembentukan alternatif perlu berdasarkan kepada masalah yang dihadapi dan keadaan semasa seperti mengikut budaya, kepimpinan, dan struktur sekolah. Pada tahap ini, adalah penting bagi sekolah untuk menyelidik dan mengkaji sedalam-dalamnya sesuatu masalah sebelum pembentukan alternatif dibuat. Seterusnya, sekolah perlu membuat pilihan strategi perubahan. Dalam usaha memilih alternatif-alternatif tersebut, terdapat tiga pendekatan iaitu satu pihak, berkongsi keputusan, dan menurunkan kuasa. Kaedah satu pihak di mana sekolah membuat keputusan berdasarkan kepada pertimbangan sendiri dan keputusan yang dibuat tidak melibatkan pihak lain. Kaedah kongsi keputusan pula, sekolah akan membuat keputusan dengan meminta pendapat dan persetujuan daripada pihak lain dalam sekolah. Manakala, kaedah penurunan kuasa pula di mana pemimpin akan menurunkan kuasa kepada orang bawahan untuk membuat keputusan bagi sekolah. Proses perlaksanaan dan penilaian pula perlu diteliti dua perkara iaitu skop skala perubahan yang betul di mana perubahan yang dilakukan perlu mempunyai halatuju ke arah matlamat yang ditetapkan. manakala masa dan keadaan yang sesuai amat penting dalam perubahan kerana ketidak sesuaian masa akan membawa kesan buruk kepada perubahan.

Kepimpinan Agihan & Guru

Semasa menghadiri Seminar Distributed Leadership : Anchoring School Improvement Work in Teaching yang diberikan oleh Prof. James Spillane pada 18 Mac, mengingatkan saya kepada apa yang telah dibincangkan oleh  Dr. Zuraidah dalam kelas beliau yang lalu iaitu salah satu cara untuk menambah baik pengajaran di dalam bilik darjah adalah dengan mengadakan team teaching atau kolaborasi dengan rakan-rakan guru yang lain.

Prof. James Spillane juga dalam ceramah tersebut, beliau ada menyentuh tentang perkara ini. Menurut beliau, guru-guru juga boleh mengamalkan distributed leadership ini dengan mengamalkan kolaborasi bersama rakan-rakan guru yang lain dan networking dengan guru-guru dari luar agar penambah baikan dalam pengajaran dan percambahan ilmu dapat dilakukan.

Ceramah beliau juga telah membuka minda saya bahawa distributed leadership ini sebenarnya boleh diamalkan oleh semua guru dan bukan terhad kepada para pemimpin sekolah sahaja. Beliau menyedarkan saya bahawa guru juga merupakan pemimpin di dalam bilik darjahnya. Walaupun kenyataan ini telah lama diketahui tetapi saya sebagai manusia sering alpa.

Friday, 15 March 2013

Sekolah Berkesan dan Pengajaran Berkesan


Sebuah sekolah yang berkesan mungkin dijangka mempunyai:
  • kepimpinan Pengetua yang berkesan
  • memberi fokus yang meluas dan difahami terhadap pengajaran dan pembelajaran
  • sebuah sekolah yang selamat dan mempunyai persekitaran pembelajaran atau 'iklim' yang kondusif untuk pengajaran
  • harapan yang tinggi terhadap pencapaian dari semua pelajar
  • penglibatan ibu bapa untuk membantu dalam pelajaran, kerja rumah dan lain-lain
  • penggunaan data ujian pencapaian pelajar untuk menilai program dan kejayaan sekolah
  • Penglibatan murid (dalam kelas dan juga dalam masyarakat, sukan, kepimpinan, wakil sekolah)
  • menawarkan pembelajaran konsisten yang merentasi subjek yang sama dan juga subjek berbeza, sepanjang tahun yang sama mahupun tahun yang berbeza.

Aspek pengajaran yang berkesan termasuk:
  • guru mempunyai sikap yang positif
  • guru membangunkan iklim sosial yang menyenangkan / guru menggunakan psikologi dalam bilik darjah
  • guru mempunyai harapan yang tinggi daripada apa yang murid boleh mencapai
  • guru memberi penjelasan tentang pengajarannya
  • pengurusan masa yang berkesan
  • guru menstrukturkan pengajarannya
  • guru menggunakan pelbagai kaedah pengajaran
  • menggunakan dan menggabungkan idea murid
  • menggunakan kaedah menyoal yang sesuai dan pelbagai.
 
Keberkesanan guru bergantung kepada
  • jenis aktiviti dalam pengajaran
  • subjek yang diajar
  • latar belakang murid (seperti umur, keupayaan, jantina, status sosio-ekonomi dan etnik)
  • Ciri-ciri peribadi murid (seperti personaliti, gaya pembelajaran, motivasi dan harga diri)
  • budaya / organisasi jabatan dan sekolah


 

 

Prinsip-prinsip Penambahbaikan Sekolah

Prinsip 1
  • Mempercayai bahawa semua pelajar boleh belajar, diajar dan mencapai kemajuan
  • Tidak ada seorang pun pelajar yang tidak boleh diajar atau tidak boleh belajar.
  • Usaha membangunkan sekolah perlu mengambil kira langkah memajukan setiap orang pelajar.
  • Setiap orang pelajar adalah berbeza dari segi fizikal, mental, emosi, kemahiran dan latar belakang budaya.
  • Setiap orang pelajar mempunyai peluang yang sama tanpa mengira kaya atau miskin, untuk memaju dan memperkembangkan intelek serta bakat mereka.

Prinsip 2
  • Mempercayai bahawa sekolah adalah kunci utama kejayaan pelajar
  • Faktor dalaman sekolah seharusnya diberi perhatian terlebih dahulu berbanding faktor luaran.
  • Suasana sekolah membantu menyuburkan pembangunan intelek dan sosial seta memberi kesejahteraan mental dan fizikal pelajar.
  • Iklim dan budaya sekolah yang menggalakkan perkembangan individu pelajar akan menghasilkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dari segi akademik malah dapat membantu meningkatkan ekonomi dan sosial dalam masyarakat

Prinsip 3
  • Mempercayai bahawa kemajuan sekolah memerlukan falsafah, matlamat, objektif dan dasar.
  • Falsafah diperlukan untuk memandu perkembangan aktiviti, mempengaruhi segala tindakan dan corak perhubungan serta orientasi sekolah.
  • Matlamat pula diperlukan untuk menjadi ukuran sama ada usaha pembangunan kemajuan sekolah yang dilaksanakan berjaya atau tidak.
  • Dasar pula diperlukan untuk mengawal segala tindakan pihak sekolah

Prinsip 4
  • Budaya sekolah merupakan elemen penting dalam menentukan kemajuan dan produktiviti serta mempengaruhi pencapaian sesebuah sekolah.
  • Faktor-faktor yang merangkumi budaya sekolah termasuk interaksi antara pelajar dengan guru, proses pengajaran dan pembelajaran, corak pentadbiran sekolah dan sebagainya.

Prinsip 5
  • Pengurusan bilik darjah yang berkesan adalah aspek penting dalam meningkatkan pencapaian akademik sekolah.
  • Pembelajaran yang berkesan bergantung kepada cara guru mengelola dan mengurus bilik darjah, kaedah pengajaran yang digunakan, persediaan mengajar, aktiviti yang dijalankan, dan juga strategi yang digunakan untuk menyelesaikan masalah disiplin dalam bilik darjah.
  • Faktor-faktor yang mempengaruhi keberkesanan P & P adalah
    • pelajar jelas tentang apa yang diajar
    • guru menggunakan pelbagai kaedah / strategi pengajaran
    • sering memberi dan menerima maklum balas
    • memantau perkembangan dan pencapaian pelajar

Prinsip 6
  • Penyelesaian masalah mestilah ditumpukan kepada punca-punca yang menyebabkan timbulnya masalah itu
  • Contohnya kelemahan pelajar dalam pelajaran bukanlah disebabkan kurangnya program pembelajaran tetapi mungkin disebabkan faktor lain seperti kaedah pengajaran guru, kurang bimbingan daripada guru, merasa tawar hati disebabkan guru melabel mereka sebagai kumpulan pelajar yang lemah atau bermasalah dan sebagainya.
  • Punca masalah seharusnya dikenal pasti secara objektif dan bukan andaian yang difikirkan

Prinsip 7
  • Pembangunan kemajuan sekolah perlu dilakukan atas dasar usaha sama dan bukanlah semata-mata usaha pengetua seseorang sahaja.
  • Matlamat sekolah adalah matlamat bersama setiap ahli organisasi sekolah : barisan kepimpinan, guru, staf dan pelajar.
  • Perancangan dan pelaksanaan pembangunan kemajuan dalam sekolah seharusnya menjadi aktiviti bersama.
  • Semangat bersama, kepunyaan bersama dan idea bersama adalah faktor utama dalam pelaksanaan pembangunan kemajuan dalam sesebuah sekolah.

Prinsip 8
  • Maklum balas yang berterusan merupakan mekanisme penting pelaksanaan pembangunan kemajuan sekolah
  • Pelaksanaan pembangunan kemajuan dalam sekolah perlu dinilai secara berterusan dari semasa ke semasa.
  • Kaedah pengukuran yang boleh digunakan termasuklah pemerhatian dan pengawasan, surat aduan, pandangan / pendapat ibu bapa, temu bual dengan pelajar dan guru, soal selidik dan sebagainya

Prinsip 9
  • Mempercayai dan mengakui bahawa ibu bapa dan masyarakat sekitar mempunyai pelbagai kemahiran dan sumber tenaga yang dapat membantu pihak sekolah.
  • Sekolah mengamalkan dasar terbuka iaitu memberi peluang ibu bapa dan masyarakat menyertai pihak sekolah.
  • Persefahaman dan kerjasama yang wujud antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat menjadi benteng utama untuk mengelakkan masalah sekolah yang berpunca daripada faktor masyarakat.
  • Sumber tenaga, material dan buah fikiran masyarakat perlu digunakan sepenuhnya untuk pembangunan kemajuan sekolah.

Prinsip 10
  • Kepimpinan Pengetua yang berkesan merupakan faktor utama dalam pembangunan kemajuan dan keberkesanan sekolah.
  • Ciri-ciri kepimpinan pengetua yang berkesan adalah
    • Memberi penekanan kepada pencapaian akademik (aktiviti, pengajaran dan bahan mengajar)
    • Menetapkan strategi pengajaran dan mengambil bahagian dalam membuat keputusan dalam hal-hal pengajaran
    • Mewujudkan iklim sekolah yang teratur, aman dan menyeronokkan untuk p & p.
    • Sentiasa menilai kemajuan pelajar, menetapkan harapan dan jangkaan sekolah serta sentiasa menyemak sama ada jangkaan itu tercapai atau tidak
    • Mengkoordinasi program pengajaran serta menghubungkan kandungan pelajaran yang hendak diajar dengan objektif yang hendak dicapai dan bahan pengajaran.
    • Menunjukkan kelakuan yang positif dengan memberi bantuan dan sokongan kepada guru-guru.
    • Menjelaskan matlamat sekolah dan menggalakkan guru-guru menghadiri aktiviti perkembangan staf dan bengkel atau mengadakan sendiri perbengkelan.

 

Saturday, 2 March 2013

Relationship between school and community

"A school is a reflection of the community it serves. At the same time, a community is a reflection of its schools."

"You cannot build a great school alone. The school needs the community and the community needs the school".

Poston et al (1992)