Friday, 22 March 2013
Bagaimana pengetua memimpin guru tanpa menggunakan kuasa dan kedudukan
Pengetua sentiasa disifatkan sebagai pemimpin sekolah kerana kedudukan dan jawatannya yang berwibawa. Pengetua dianggap sebagai orang penting yang boleh mencorakkan pencapaian cemerlang sekolah melalui keterampilan, dedikasi dan keperibadian yang ada pada dirinya.
Pada pendapat saya, pengetua yang memimpin guru tanpa menggunakan kuasa dan kedudukannya merupakan pengetua yang mengamalkan gaya kepimpinan demokratik. Kajian-kajian terdahulu mengatakan bahawa sesuatu perubahan dan inovasi memerlukan keadaan yang dapat menggerakkannya supaya ia dapat dilaksanakan. Salah satu penggerak itu adalah dengan mengamalkan kepimpinan demokrasi.
Pengetua yang tidak menggunakan kuasa dan kedudukannya akan sentiasa memberi peluang kepada guru dan pelajar untuk terlibat sama dalam perancangan dan membuat keputusan tentang sesuatu perubahan yang ingin dilaksanakan. Cara ini boleh menimbulkan semangat kesanggupan untuk bekerjasama dalam melaksanakan sesuatu program dan seterusnya memberi kepuasan kepada mereka. Pengetua ini juga cenderung untuk melibatkan stafnya bersama-sama dalam menyelesaikan masalah yang timbul. Penglibatan guru dan staf lain dalam perbincangan dan membuat keputusan bersama boleh menimbulkan suasana yang kondusif. Keadaan ini menyebabkan guru-guru lebih gembira dan bersemangat. Sesi perbincangan seperti ini memberi kesempatan kepada guru untuk mencetuskan idea-idea yang difikirkan masing-masing serta membuat teguran yang positif tanpa merasa takut atau rendah diri terhadap rakan setugas yang lain.
Selain daripada itu, pengetua mestilah seorang yang berketerampilan, cekap dan mahir dalam memanipulasikan strategi dan keadaan demi untuk menjamin keberkesanan yang maksimum. Kemahiran ini termasuklah aspek perancangan, pengelolaan, penjadualan dan penyelarasan. Pengetua juga mestilah mahir dan cekap dalam perhubungan manusia dan perhubungan inidividu serta mampu menggerakkan atau memotivasikan stafnya.
Pengetua juga mestilah memainkan peranan sebagai penghulu yang memberi isyarat tentang nilai dan kepentingan atau tujuan sesuatu yang hendak dicapai melalui perbincangan. Ini termasuklah aktiviti seperti melawat kebilik darjah dan di kawasan sekolah , mengetuai upacara rasmi di sekolah . Di samping itu pengetua yang memainkan peranan ini juga mempunyai wawasan sebagai satu unsur kepimpinannya . Kepimpinan seperti ini meletakkan pengetua sebagai tumpuan perhatian bagi semua guru dan pelajar.
Pengetua juga merupakan pemimpin budaya dan sangat penting bagi mencapai kecermelangan sekolah . Pengetua berusaha mencari, mentafsir dan memperkukuhkan nilai, kepercayaan dan unsur budaya yang dapat menjadikan sekolah itu sebagai sebuah sekolah yang unik. Salah satu caranya termasuklah mengadakan aktiviti sosialisasi guru dan pelajar dengan budaya sekolah. Ini termasuklah mengadakan upacara memberi hadiah atau penghargaan kepada sesuatu kejayaan yang dicapai . Kepimpinan seperti ini sering memperlihatkan usaha bagi mengekalkan imej dan prestij sekolah . Di samping itu , peranan ini juga melibatkan usaha untuk menarik perhatian setiap orang guru dan pelajar di sekolah dan juga orang lain terhadap pencapaian matlamat sekolah dan perhubungan yang mesra .
Pengetua juga perlu menanamkan sifat menghormati organisasi sekolah lain yang cemerlang tetapi pada masa yang sama masih sedia bersaing dengan mereka. Persaingan yang sihat ini sebenarnya menjadi pendorong kepada seluruh warga sekolah untuk berusaha dengan lebih gigih. Beliau juga perlu mengaplikasikan konsep dorongan kendiri di kalangan warga sekolah demi kemajuan sekolah. Guru dan staf serta pelajar yang mempunyai dorongan kendiri yang tinggi sentiasa mengetahui tugas yang perlu dilaksanakan tanpa perlu diarahkan atau dimarahi. Beliau juga perlu menjadi contoh tauladan dengan menunjukkan disiplin diri yang tinggi kepada seluruh warga sekolah. Ini menyebabkan guru dan staf lain merasa segan dan malu untuk melanggar disiplin.
Kesimpulannya, pengetua yang tidak menggunakan kuasa atau kedudukannya dalam kepimpinannya mestilah membina hubungan baik dan mesra dengan seluruh warga sekolahnya tetapi pada masa yang sama tetap tegas. Pengetua yang menghormati subordinatnya sesungguhnya akan dihormati oleh mereka. Sikap saling hormat menghormati ini juga dapat mewujudkan suasana yang kondusif dan positif di kalangan warga sekolah. Selain daripada itu, apabila pengetua memberikan tugasan atau melaksanakan sesuatu perubahan, subordinat akan merasa segan untuk menolak atau membuat sambil lewa. Sebaliknya, mereka akan berusaha untuk membuat yang terbaik.
Jika pengetua yang memimpin tanpa menggunakan kuasa juga seharusnya memberi kepercyaan kepada subordinatnya untuk melaksanakan tugasan mereka. Namun begitu pemantauan secara berkala perlu diberikan juga.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
perghhh.. idea yang hebat
ReplyDelete