Friday, 10 May 2013

Kolaborasi antara sekolah


Tajuk artikel
Why Collaborate? The differing reasons for secondary school educators' establishment of school-community partnerships
Penulis
Catherine M. Hands
Tahun
June 2010
Terbitan / Jurnal
Routledge Taylor and Francis Group
School Effectiveness and School Improvement : An International Journal of Research, Policy and Practice

 Pengenalan
Artikel ini menerangkan tentang kepentingan dan peranan penglibatan komuniti di sekolah serta manfaat kolaborasi.

Ulasan
Tidak dapat dinafikan lagi sekolah dan masyarakat adalah dua entiti yang saling memerlukan serta saling melengkapi  antara satu sama lain. Sekolah sebagai sesebuah organisasi yang dinamik, terbuka, dan kompleks perlu mewujudkan dan mengekalkan hubungan saling bergantung dengan semua pihak luar. Tanpa unsur saling bergantung sekolah tidak dapat memainkan peranan dengan cekap dan berkesan untuk mencapai visi dan misinya. Hasil dari hubungan yang saling memerlukan di antara pihak sekolah dengan masyarakat akan melahirkan generasi baru yang seimbang dari jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial seperti yang dicita-citakan dalam falsafah Pendidikan Negara.

Salah satu ciri sekolah berkesan adalah membina hubungan baik antara pihak sekolah dan juga masyarakat. Oleh itu, saya berpendapat bahawa pendidikan sebenarnya adalah perkongsian tanggungjawab dan manfaat bersama antara sekolah, ibu bapa, kerajaan, agensi-agensi masyarakat dan sektor swasta. Perkongsian tanggungjawab memudahkan pertukaran sumber di antara sekolah dan masyarakat. Sebagai contoh, hubungan dengan pihak hospital memudahkan sekolah mengadakan lawatan untuk memberi pendedahan tentang kerjaya seorang doktor ataupun jururawat. Selain daripada itu, jika pihak sekolah mengadakan aktiviti sukan, merentas desa  dan sebagainya, bantuan daripada pihak polis dan hospital mudah diperoleh. Hakikatnya, pihak sekolah sememangnya sangat memerlukan bantuan komuniti setempat dalam pemnjaya pendidikan di sekolah.
 
Pengetua juga seharusnya menggalakkan guru-guru agar membina rangkaian dan memupuk budaya perkongsian bukan sahaja dengan komuniti setempat tetapi dengan sekolah-sekolah lain juga. Pada pandangan saya, setiap sekolah mempunyai kekuatan mereka sendiri dalam kecemerlangan dan keberkesanan. Jika pihak sekolah mewujudkan kolaborasi atau kerjasama dengan sekolah lain, mereka boleh mempelajari sedikit sebanyak budaya dan kecemerlangan sesebuah sekolah itu.  Selain daripada itu, perkongsian atau bekerjasama dalam  aktiviti pelajar juga boleh membantu meningkatkan motivasi pelajar. Bagi pihak pengurusan pula, kerjasama antara dua buah sekolah dalam komuniti yang sama  memudahkan mereka agar lebih memahami pengaruh komuniti tersebut kepada pelajar dan kesannya terhadap sekolah. Perkongsian aktiviti juga dilihat dapat membantu memberi sokongan dari segi sumber, kewangan dan sosial.

Selain daripada itu, kolaborasi antara pihak sekolah dan masyarakat akan menggalakkan perkongsian pengalaman ibu bapa dengan pelajar dan seterusnya dapat meningkatkan pencapaian pelajar. Bukan itu sahaja, reputasi sekolah dapat ditingkatkan jika mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat. Masyarakat akan memandang tinggi kepada sekolah yang berkesan dan sentiasa memberikan persepsi yang positif. Jika ada sebarang masalah yang timbul, masyarakat tidak akan mudah membuat interpretasi negatif terhadap sekolah. 

Kesimpulan

Dapat dirumuskan di sini bahawa pendidikan tidak hanya berlaku di dalam sekolah malah boleh juga berlaku di luar kawasan sekolah. Untuk memastikan bahawa pendidikan dapat berjalan seperti yang sepatutnya, hubungan antara sekolah dan masyarakat perlu diperbaiki. Sekolah memerlukan sokongan masyarakat untuk memastikan bahawa pendidikan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Begitu juga masyarakat memerlukan sekolah untuk memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sewajarnya. Kolaborasi antara sekolah dan sekolah, sekolah dan masyarakat adalah perlu untuk menyokong antara satu sama lain bagi membantu meningkatkan pencapaian sekolah masing-masing.

No comments:

Post a Comment